Friday 26 April 2013

Ada Cinta Antara Kita (3)


Bab 3.

     Tittt tittt titttt.

     Tangan kanannya meraba-raba bawah bantal, ditariknya telefon bimbit tersebut lalu alarmnya dimatikan. Pukul 6 pagi. Adam Mikhail menggosok-gosok matanya untuk menghilangkan rasa mengantuk. Ditariknya bantal yang tercampak di sebelah kanan katil lalu dipeluknya kejab. Masih ada lagi saki baki tidurnya yang perlu dibayar. Dia mahu tidur lebih lama. Matanya dipejam semula. 30 minit kemudian, matanya rasa pedih yang amat. Silau.

     "Ayahh.. kenapa buka lampu! Ugh..." Rungut Adam dengan suara serak basahnya. Bantal yang dipeluknya tadi dibawa ke muka. Ditekapnya bantal itu ke wajahnya. Encik Rahim menggelengkan kepala. Tak sesak nafas ke tu? Liat betul anak terunanya ini. Dah dibuka lampu pun ada hati nak sambung tidur.

     "Adam, dah pukul 6 setengah. Solat Subuh tak lagi?" Ujar Encik Rahim sambil mengoyang-goyangkan kaki Adam.

     Apa? 6 setengah? Adam terus mengalihkan bantal yang menutup mukanya. Diselak selimut yang membalut tubuhnya sepanjang malam. Rambutnya yang kusut disikat ke kanan dengan jari-jemarinya. Pantas dia melangkah ke bilik air. Usai mandi dan mengambil wudhuk, dia teruskan dengan solat subuh. Dalam sujudnya yang terakhir, didoakannya keselamatan Farrah. Dia tidak mahu Farrah diapa-apakan oleh Razeef Arshad binatang yang dibencinya itu. Pada masa yang sama, dia mendoakan kesejahteraan adiknya, Adam Haikal dan juga ibunya yang telah kembali ke Rahmatullah. Air matanya bertakung semula.

     Selepas sembahyang, dia mencapai buku kecil sebesar tapak tangan yang diletakkannya di sebelah kitab suci Al-Quran. Dibacanya 3 ayat terakhir surah Al-Hasyr. Setelah selesai membacanya, Adam mengucup buku tersebut. Dikerlingnya jam dinding, pukul 7 pagi. Awal lagi ni. Dipandang telefon berwarna merah jambu yang terletak di atas meja studinya. Seulas bibirnya mengukir senyuman. Dia akan berdepan dengan gadis bertudung biru itu sekali lagi hari ini. Rasa tak sabar pula.

     "Hari ini aku dalam mod kalis jelingan," bisik Adam perlahan. Perlahan-lahan pintu almarinya dibuka. Baju berwarna merah dihiasi nombor lima di dada dan lengan kanan dipadankan dengan seluar jeans berwarna hitam. Dipandang sekilas wajahnya di muka cermin. 'Okeylah tu.. Tak adalah over sangat,' detik hatinya. Dalam pantulan cermin, telefon bimbit berwarna merah jambu itu direnungnya. Tiba-tiba, Adam mengukir senyum nakal. Dicapainya telefon tersebut.

     'Jom kita main-main sikit Farrah..'

     Senyum tidak lekang dari bibir Adam Mikhail setelah dia melakukan sedikit 'pengubahsuaian' pada telefon Farrah. Pesanan ringkas yang diterimanya daripada Razeef semalam semuanya dipadam, termasuklah semua log telefonnya. Gambar-gambar Razeef dipadamkan, dan diganti dengan gambarnya. Gambar-gambar yang dirasanya elok, habis semuanya dihantar kepada telefon Farrah melalui Bluetooth. 50 gambar semuanya. Berguling dia menahan ketawa.

     'Haha. Pandai-pandai aja aku ni.'

     Wajah Farrah yang masam mencuka terbayang di minda Adam. Comforter yang sudah dibentang kemas kembali renyuk. Disetkan gambarnya yang paling comel sebagai wallpaper. Mesti mengamuk minah tu nanti!

     Ditaip nombor telefonnya,

    0175689456.

    Do you want to save this number?

    Yes.

    Save as....

    Oppa <3 <3 <3

    Hahahahahaha. Tergelak besar Adam pagi ini.

    9 pagi. Adam menuju ke tempat parkir. Vespa berwarna hijau epalnya dihidupkan. Diikat topi keledar hitam berbelang kuning cair itu ketat. Rumah kuning atas bukit, here I come!
   
***************************************************

     9.20 pagi, Farrah Irdina bingkas bangun dari tempat tidur. Bunyi hon yang kuat di luar rumah mengganggu tidurnya.

     "Ish.. Pukul 9 pagi... Siapalah yang datang ni." Farrah melangkah ke tingkap biliknya, tirai putih susu itu diselak. Matanya menangkap kelibat ibunya yang sedang berbual mesra dengan seorang pemuda yang membonceng sebuah vespa berwarna hijau. Usai sahaja lelaki itu membuka topi keledarnya, Farrah tersenyum. Anak matanya mengekori Adam yang sedang berbalas senyum dengan ibunya.

     "Akhirnya! Hand phone aku!"

     Farrah cepat-cepat menyiapkan diri. Baju hitam labuh berkain chiffon disarung ke badannya. Tudung sarung berwarna hijau limau yang tergantung di belakang pintu dipakainya kemas lalu dikerling cermin meja soleknya. 'Duduk dalam rumah ja.. Buat apa nak bersiap sakan,' getus hatinya.

    Cepat-cepat Farrah bergerak menuruni tangga, langkah disusun menuju ke ruang tamu. Adam Mikhail yang duduk di atas sofa segera didekatinya. Sambil memeluk tubuh, Farrah menghulurkan tangannya. Macam orang meminta hutang sahaja lagak Farrah.

     "Telefon aku mana?" Mendatar sahaja intonasi suara Farrah.

     "Samseng yaa..." Adam yang sedang memegang majalah Laman mengalih pandangan kearah Farrah. Diseluk beg sandang berwarna coklat muda. Telefon Samsung Galaxy Note itu dicapainya. Tanpa sempat dia mengeluarkannya, Puan Zati keluar dari dapur sambil menatang dulang berwarna emas.

      "Haaaa, turun pun kamu Farrah. Ibu ingat kamu nak membuta sahaja sampai tengah hari nanti." Sakat Puan Zati. "Jemputlah Adam, mak cik sempat buat puding telur je nak."

      Dulang berisi air teh bersama sepinggan puding telur sejuk diletakkan di atas meja. Farrah mengetap bibir. Adam cepat-cepat menyimpan semula telefon bimbit yang dicapainya tadi. Senyum dihulur kepada Puan Zati dan kemudian kepada Farrah yang masam mencuka. Hai Farrah, senyum tu sedekah tahu tak?

      "Psttt! Telefon aku mana!" Suaranya tidak mendatar lagi. Tangannya yang dihulur tadi digoyang-goyangkan. Wajah Farrah yang kelat, pipinya yang mula kemerahan jelas menunjukkan yang dia sedang menahan marah.

     Adam buat-buat tak dengar.

     'Eh, dia ni nak simpan telefon aku sampai bila?' Sungut Farrah. Pipinya dikembungkan sebelum Adam dijelingnya tajam. Adam tersenyum melihat gelagat Farrah yang masih tak mahu mengaku kalah. Merajuk lah tu.

     'Takkan aku nak tinggalkan ibu dengan budak tu berdua je? Nanti hand phone aku dapat kat ibu pula!' Dia mengurut kepalanya yang mula sakit memikirkan telatah Adam dan ibunya. Nak tak nak, Farrah menghempas punggung di atas sofa, dia terpaksa duduk di hadapan Adam yang dari tadi tersengeh-sengeh macam kerang busuk. Apa ni? Ibu dengan budak sengal ni berkomplot ke nak menyakitkan hati aku hari ni?

      Mata Adam tertancap pada puding telur yang dihidang atas meja. "Wah mak cik, favourite saya ni!" Kata Adam. Tangan kanannya mengambil piring kecil di atas meja, disudunya puding telur yang membuatkan air liurnya kecur.

    "Mak cik tahu Adam suka puding telur, sebab tu lah mak cik buatkan.." Kata-kata yang terbit dari mulut Puan Zati itu menyebabkan Farrah hairan. Ibu aku ni ada affair dengan sapa-sapa ke? Mana dikenalnya budak ni? Siap tahu makanan favourite dia lagi. Adam yang kebingungan segera mengorek semula segala memori yang ada dalam kotak ingatannya. Dahinya berkerut, tangan kanannya mengurut dagu. Wajah Puan Zati direnungnya. Macam kenal....

     Diletaknya piring berisi puding telur di atas meja. Wajah Adam ceria. Dia tersenyum gembira, terserlah lesung pipit di pipi kanannya. Dia sudah ingat semuanya!

     "Nii... Mak Cik Zati ke?" Tekanya. Tangan kanannya memotong puding telur menggunakan sudu sebelum menyuapkan puding tersebut ke dalam mulutnya. "Mak Cik Zati saja yang boleh buat puding telur sesedap ni," ujar Adam Mikhail. Adam menyuap puding telur ke dalam mulutnya lagi.

     "Haaa betullah tu! Tak sangka Adam ingat Mak Cik Zati lagi. Budak Farrah ni langsung tak ingat kamu!" Telah Puan Zati.

      Adam memandang Farrah dengan teliti. "Dina... kan? Betullah Dina! Ya Allah saya... langsung tak perasan mak cik.." Kata Adam perlahan. Tak sangka lawatan ke rumah besar atas bukit hari ini membawa dia bertemu kawan sepermainannya waktu kecil dahulu. Dari riak wajah Farrah, Adam tahu dia masih tak percaya.

     Farrah tersentak. Dina? Seorang sahaja manusia di dunia ni yang memangginya dengan nama itu! Tapi, tak mungkinlah!

     Farrah tergelak. Apa semua ni? Lakonan yang telah dirancang ke?

     "Ibu tak ingat ke? Jiran kita dulu, anak dia kan perempuan. Nama Mika! Ibu ingat Farrah lupa ke Ibu? Ibu sengaja kan main-mainkan Farrah." Farah berdiri sambil menyatakan hujahnya.

     Tersedak Adam Mikhail yang sedang menghirup air teh. Gaya spontan Farrah yang bagaikan mahu berdebat membuatkan Adam geli hati. Usai sembuh dari batuknya, dia terus ketawa berdekah-dekah sambil tangannya memegang dahi. Puan Zati yang memerhati gelagat Adam turut sama ketawa. Farrah semakin keliru dengan apa yang dilihatnya.

     "Ibu! Janganlah ketawa!" Jerit Farrah. Kenapa aku tak ingat budak Adam ni? Mungkin aku pernah jatuh, terhentak kat mana-mana, lepas tu separuh ingatan aku tentang zaman kanak-kanak aku hilang? Aku ada penyakit Alzheimer ke? Tapi aku masih muda!

     Adam yang masih ketawa memandang Farrah.

     "Remember this?" Ujar Adam. Lengannya yang berparut sejengkal ditunjuk kepada Farrah. Farrah melopong. Parut itu...

     "Kau... Mika?" Jari telunjuknya dihalakan kearah Adam. Sungguh dia tak percaya semua ini. "Aku ingat kau perempuan?" Tanya Farrah perlahan. Dia inginkan kepastian.

     "Ibu puas dah beritahu kau, Mika tu lelaki... Farrah tak pernah percaya. Ibu nak buat maca mana Farrah, kamu pun kecik lagi masa tu.. Ibu tak kisah sangat kamu nak berkawan dengan siapa pun..."

      Adam dikerlingnya. Pemuda tu... ialah Mika. Kawan baiknya suatu ketika dahulu. Parut di lengan Adam ditenungnya lama-lama. Farrah adalah sejarah disebalik parut milik Adam. Farrah tertunduk. Tudung yang menutup kepalanya dibetulkan. Terlerai semua misteri tentang Adam.

     "Takpelah Mak Cik Zati, saya balik dulu ya. Kirim salam pada Pak Cik Borhan. Ayah pesan, singgahlah rumah kalau ada kesempatan. Kami dua orang teruna rasa sunyi saja duduk berdua. Seronok juga kalau ada tetamu." Adam ketawa usai sahaja dia menghabiskan ayatnya.

     "Ajaklah Irdina datang sekali.." Sambung Adam. Sepucuk surat bersampul putih yang ditujukan khas untuk Encik Borhan dihulurkan kepada Mak Cik Zati. Mak Cik Zati mengangguk.

     "Adam tunggu sekejap ye, Mak Cik ada masak sesuatu. Bawa balik ye." Bergegas Puan Zati ke dapur. Peluang itu direbut oleh Adam sebaik sahaja dia yakin Puan Zati telah pergi. Adam bingkas bangun. Tangannya menyeluk kembali beg sandang yang berwarna coklat itu. Telefon Samsung Galaxy Note dihulurnya kepada Farrah. Farrah pantas merampas telefon bimbit itu dari pegangan Adam. Lega hatinya apabila telefon bimbit itu dipulangkan, rindu betul Farrah pada telefon bimbitnya itu.

     'Razeef, tunggu aku!' Bisik hatinya. Seulas bibir milik Farrah Irdina mula menguntum senyum.

     "Aku dah tolong caskan telefon kau." Kata Adam.

     Farrah pantas menyimpan telefonnya di dalam saku. Wajahnya diangkat. Pandangan Adam dan Farrah bertemu.

     Pantas, Adam mengedipkan matanya. Lelaki itu turut mengukir senyuman manis buat Farrah. Lesung pipitnya yang terbentuk di pipi kanan menyerlahkan senyuman milik pemuda tersebut.

     Apa?

     Farrah terpana. Terus timbul bayangan Mika ketika itu. Tapi, ini bukan Mika. Ini Adam!

     Dia mula rasakan debaran yang aneh.

     Pipinya pula terasa hangat ketika itu.

***************************************************


No comments:

Post a Comment

Followers