Wednesday 24 April 2013

Ada Cinta Antara Kita (1)




Bab 1.

     Hujan menghentam atap zink rumah kayu yang sudah uzur itu. Bising. Aku lihat Tok Su Melah masih lagi tekun mengurut ibu yang terbaring di atas tikar mengkuang. Sesekali ibu sendawa. 'Bosan betul,' rungutku. Aku yang duduk betul-betul di hadapan pintu bilik mula menguak pintu dengan berhati-hati, bimbang ibu dilihat orang. Di ruang tamu ada seorang lelaki bersama anak lelakinya, duduk di hadapan suami Tok Su Melah.

     Aku pandang budak lelaki yang duduk bersila itu. Kejap tersandar di dinding, kejap mengurut-ngurut kaki, kejap melunjur. Tak boleh duduk diam langsung. Tiba-tiba pandanganku berbalas, matanya memandang tepat kearah aku. Kaget, aku cepat-cepat tundukkan muka. Tulah, tenung orang tak cover line! Serta merta aku alihkan pandangan kepada suami Tok Su Melah. Suami Tok Su Melah mengurut orang juga walaupun dia lumpuh separuh badan. Selagi tangannya masih ada dan boleh bergerak, dia gunakan untuk mencari sesuap nasi untuk anak bininya.

     "Zati rajin datang mengurut ye bulan ni," kata Tok Su Melah.

     "Sejak bibik berhenti, saya mula buat semua kerja rumah sendiri, sebab tu lah saya datang mengurut ni Mak Melah.. Badan saya terasa sengal-sengal aje," jawab ibu jujur. Aku terus menutup mulut menahan ketawa.

     "Laa, habis tu, tak kan Farrah tak tolong?" Soal Tok Su Melah.

      Alamak.

     "Budak tu memang, liat nak buat kerja rumah."

     Aku mengetap bibir. Kalau bersembang mengutuk aku memang nombor satu. Tak apa, balik nanti aku buat kerja rumah rajin-rajin! 

      Aku malas nak memasang telinga mendengar perbualan Tok Su Melah dengan ibu. Kebanyakkannya berkisar tentang politik, dimana aku patut sambung belajar, dan juga tentang kawan-kawan sekampung ibu. Aku menarik sweater milikku kejab, sejuk betul petang ini. Mata aku alihkan ke arah pintu rumah Tok Su Melah. Air mula bertakung di hadapan pintu rumahnya. Lama-kelamaan air naik makin tinggi, melimpah masuk ke dalam rumah uzur ini. Aku mula rasa simpati. Halaman rumah Tok Su Melah memang rendah sedikit, air mudah bertakung. Rasa teruk kalau tak tolong, jadi aku capai penyapu lidi yang terletak elok di sebelah tangga dan mula menyapu air yang masuk.

     Hujan turun makin lebat, tak menang tangan aku menyapu air yang terus melimpah masuk. Suami Tok Su Melah penat menyuruh aku berhenti, sudah biasa begini katanya, namun aku terus berdegil. Entahlah, aku kasihan mungkin. Air makin banyak masuk ke rumah Tok Su Melah, namun hujan tidak menampakkan sebarang belas kasihan, langsung tak surut malah makin lebat. Aku menyapu dengan lebih rajin, 'alang-alang dah tolong, tolong betul-betul,' bisikku.

    Kadang-kala aku menjeling budak lelaki yang duduk bersama ayahnya itu. Aku agak umurnya sebaya dengan aku. Aku jeling dia sekali lagi, dan pandangan kami bertemu. Aku melarikan pandangan dan buat-buat sibuk menyapu air yang masuk. Apabila aku menegakkan badan aku untuk melegakan sakit belakang, aku nampak dia merenung aku dengan pandangan yang tak puas hati. Aku kembali menyapu. 'Ah, aku yang perempuan ni pun cuba tolong apa yang terdaya, dia yang lelaki tu buat tak tahu saja!'

    "Tepilah!"

    Buk! Terasa seseorang merempuh aku dari belakang. Fuh, nasib baiklah aku tak terjatuh. Aku tarik muka masam dan berpaling. Budak lelaki yang aku jeling tadi jalan melulu keluar. 'Ish dia ni, dahla langgar aku, langsung tak minta maaf. Nak balik lah tu, mesti dia berbulu tunggu lama-lama,' detik hatiku sambil mengukir senyum tawar. Aku teruskan kerja aku yang tergendala sambil membebel dalam hati. Tiba-tiba aku rasa air yang masuk makin berkurangan, namun hujan tidak pula berhenti. Aku hairan. Pelik. Tiba-tiba aku terdengar bunyi orang menyangkul di luar rumah. Aku berlari anak ke pintu dan mula menjengukkan kepala keluar.

     Aku terkejut, mata aku tak berkelip. Dia? Biar benar. Encik Muka Cap Tak Puas Hati ke tu? Dengan cangkul di tangan, dia menggali longkang dari hadapan rumah Tok Su Melah hinggalah ke bendang. Patutlah air makin berkurang, rupa-rupanya air telah disalirkan ke sawah yang berdekatan. Bajunya basah kuyup, hujan pulak bukannya hujan renyai-renyai. Aku tak sedar yang aku memandang dia terlalu lama sampai tudung aku basah kuyup terkena titisan hujan yang jatuh dari atap zink. 

     "Haa, Farrah, terjenguk-jenguk apa tu? Jom balik, ibu dah habis mengurut ni" jerit ibu dari dalam bilik. Sambil berlari-lari anak, aku betulkan tudung berwarna biru muda yang senget. Sesampai sahaja aku di muka pintu, aku nampak ibu sedang menghulurkan sekeping sampul surat putih kepada Tok Su Melah. Dia menyambutnya dengan senyuman. Aku apa lagi, dah diajak balik, cepat-cepat aku kemaskan barang-barang ibu. Semuanya aku sumbatkan kedalam beg.

    Aku terus memecut menuju ke kereta Proton Persona sambil menjinjing beg milik ibu. Aku cepat-cepat buka pintu dan melabuhkan punggung ke atas seat kereta. Nafas aku tarik dalam-dalam. Ibu masih lagi di dalam rumah Tok Su Melah. Pandanganku dihalakan ke arah pintu rumah usang tersebut. Lega aku bila ibu sudah bersalam dengan Tok Su Melah. Penat betul aku teman ibu hari ini. Bukan buat apa pun. Termenung pandang siling saja. Pintu kereta di sebelah pemandu dikuak, ibu masuk bersama senyuman di wajahnya.

     "Lepas ni Farrah tak mahu teman ibu lagi. Boringlah." Kata Farrah bersahaja.

     "Takpelah Farrah, sekali sekala nak jugak berteman" balas Puan Zati sambil tersenyum.

    Aku pandang rumah Tok Su Melah sebelum kereta bergerak. Tiba-tiba mata aku tertancap ke arah pintu rumah. Budak lelaki tadi, kenapa dia melambai-lambai kat aku macam orang gila? Ah, malas aku nak layan. Nak mengorat lah tu. Pandangannya terus dilemparkan ke arah jalan.

**********************************************
 
     Kakinya itu diluruskan, tangan kanannya mula mencubit-cubit pehanya yang kebas. Sekejap dia bersila, sekejap dia melunjur. Masa bergerak terlalu lambat. Perasaan bosan tak boleh dikekang lagi.

    "Tok Wan, anak Tok Wan kat mana sekarang," tanyaku.

    "Anak Tok Wan yang keempat kat Shah Alam tu, tengah belajar. Yang bongsu pergi sekolah hari ni... Nak ambil majalah sekolah katanya. Adam macam mana. Dapat tawaran pergi mana-mana tak. Matrikulasi ke Asasi ke?"

    Terkejut aku dengan pertanyaan Tok Wan. Tak sangka dia tahu semua ni. 'Updated jugak orang tua ni,' detik hatinya sambil bibirnya mula mengukir senyuman. Terserlah lesung pipit di pipi kanannya. Mana taknya, kelima-lima orang anak Tok Wan semuanya berjaya. Dan yang terbaru, anak perempuannya yang bongsu berjaya mendapat straight A. 


    "Apa rahsianya Tok Wan, anak Tok Wan semua berjaya?" ringan saja mulut aku bertanya. Macam wartawan pula.


     "Kamu tengok rumah Tok Wan ni, mana ada apa-apa. TV adalah, komputer memang tak ada. Budak-budak ni kena bagi dia rasa susah baru nak belajar. Kalau senang, depa goyang kaki. Belajar pun malas. Lagi satu, makanan pulak jangan dipandang remeh, kalau beli makanan.. elok dibeli yang mahal. Ikan mahal, ayam mahal, sayur mahal. Kualiti kena jaga. Bukan apa, benda yang kita makan tu penting. Segala lauk yang masuk ikut mulut kita tu semua akan membentuk darah daging kita. Kalau beli ikan murah je camne badan nak sihat...." terang Tok Wan panjang lebar.

    Aku mengangguk-angguk. Ada betulnya kata Tok Wan tadi. Makanan yang mahal lebih banyak kandungan zatnya. Lebih banyak zat yang diambil, lebih sihatlah badan, lebih cerdaslah otak. Betul kan? Teringat aku kepada anak Tok Wan yang kedua. Sekarang dah jadi pemain bola sepak wakil negeri Kedah. Sijil-sijil anaknya dibingkaikan dan digantung kemas di dinding rumahnya. Aku memandang dinding tersebut dengan penuh minat, dan tiba-tiba aku dengar bunyi pintu bilik dikuak. Pantas aku alihkan muka ke pintu tersebut. Seorang perempuan bertudung biru muda memandang aku dengan penuh minat. Aku buat muka hairan dan membalas pandangannya.

     Pantas sahaja gadis yang bertudung biru muda tu mengalihkan pandangan. 'Aik, dia yang pandang aku dulu, aku pandang balik dia buat muka bebal pulak,' kutuk Adam dalam hati. Pandangannya dialihkan kepada pintu rumah Tok Wan yang mula dinaiki air. Terdetik pula rasa kasihan dalam hatinya. Mesti tiap kali hujan macam ini. Tok Su Melah tu dah tua, kurus benar orangnya. Tok Wan pula lumpuh. Belum sempat dia bangun untuk menolong, perempuan bertudung biru muda tadi pantas mencapai penyapu lidi dan terus menyapu air yang masuk. Gayanya keras macam tak pernah pegang penyapu saja. Dia menyimpul senyum sambil membetulkan duduknya.

    Namun hujan tak pula berhenti, malah makin ganas menghentam atap zink rumah usang tersebut. Adam mula rasa tak selesa. Dia memandang ke arah gadis tadi yang sudah beberapa kali menjelingnya. 'Aku nak tolong jugak la mek oii, tapi penyapu ada satu je,' katanya separuh berbisik. Habis basah hujung seluar gadis itu akibat meredah air. Beberapa kali juga dia nampak gadis itu meluruskan belakangnya. 'Lepas ni kau pulak la yang datang mengurut jawabnya!' sakat Adam dalam hati. Terhibur sebentar dia memerhatikan gelagat perempuan itu. Makin kalut dia menyapu apabila air naik makin tinggi.

     "Sudah lah tu Farrah oii, air memang selalu naik pun kat rumah Tok Wan ni... Kami biasa dah.. Kalau rumah tenggelam, kami naik rumah atas," pujuk Tok Wan dengan harapan Farrah berhenti menyapu.

     "Saya nak tolong je Tok Wan..." balas gadis tersebut. Matanya sempat lagi menjeling Adam yang duduk bersila di tepi Tok Wan.

      Adam tersentap. Apasal hah dia ni. Nak aku tolong sangat ke? Okeylah, aku tolong !

     Adam bingkas bangun dari duduknya dan terus meluru ke pintu keluar. Tak sengaja dia terlanggar bahu gadis bertudung biru muda itu. Dapat dilihat dia menarik muka masam sejengkal. Ah, peduli apa aku. Hujan yang lebat diredahnya juga. Baju hitam berlengan pendeknya habis basah, seluar jeans miliknya dilipat paras betis supaya tak kotor nanti. Dicapainya cangkul, dan dia mula menyangkul tanah merah di hadapan rumah Tok Wan. Plan Adam sekarang, dia akan membuat longkang kecil dari hadapan rumah Tok Wan hingga ke bendang berdekatan. Itu sahaja yang terbit difikirannya.

     'Peduli apa aku, tebuk jela tanah rumah orang, lebih baik macam ni dari biar air masuk,' pujuk hatinya. Dia agak terkilan apabila menerima jelingan tajam daripada gadis tadi. Bukannya dia tak mahu menolong... Dia terus menyangkul dengan bersungguh-sungguh. Rambutnya yang jatuh menutup matanya cepat-cepat diseka ke belakang. Apabila diangkat pandangannya, dia nampak gadis tadi tertinjau-tinjau dari belakang pintu. 'Haaa, baru kau tau siapa Adam,' jeritnya dalam hati. Namun, apabila difirkan kembali, niatnya untuk menolong, bukan untuk mengambil hati sesiapa. Pantas dia beristighfar. Ya Allah ampunilah dosaku..  Kerjanya yang bertangguh disambung.

     Selepas habis menyangkul, Adam tersenyum puas.  Rambutnya yang basah disisir ke belakang dengan jari. Usahanya sudah menampakkan hasil. Air yang bertakung di hadapan rumah Tok Wan tadi dah semakin kering. Usai sahaja dia menyimpan cangkul di bawah rumah, dia melangkah masuk ke rumah Tok Wan. Dilemparkan pandangannya ke luar, gadis tadi bersama ibunya telahpun masuk kedalam perut kereta. 'Bagus, dia dah balik, barulah aman sikit aku nak duduk berehat.'

     Tiba-tiba, Tok Su Melah berlari keluar dari bilik mengurut dan menjerit-jerit memanggli Farrah. Tangan kanan Tok Su Melah yang terangkat-angkat itu mengenggam sebuah telefon. Budak tadi tertinggal telefon ke? Aku pun terus berpaling dan melambai-lambai ke arah kereta Proton Persona yang hendak membelok masuk ke jalan besar. Puas aku jerit sampai kering suara, sambil mengangkat telefon milik Farah itu, namun hampa. Kereta tersebut terus meluncur laju, memperdulikan jeritan Tok Su Melah dan Adam. Tok Su Melah melepaskan keluhan

     Aku pandang telefon yang berada dalam genggamanku. Macam mana ni?

                                     **********************************************


     

No comments:

Post a Comment

Followers